TRC105: BANGKIT: Sebuah Edu-teater Memperkasa Pengetahuan Rehabilitasi Dan Covid 19 Dikalangan Pelajar, Murid Dan Masyarakat.

Noor Hafifi Noorhisham Pusat Kajian Rehabilitasi Dan Keperluan Khas, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Pandemik COVID-19 memberi kesan besar terhadap kesihatan fizikal dan emosi masyarakat. Maka, sebuah Edu-Teater ‘Bangkit’ telah dibangunkan sebagai pendekatan inovatif untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pemulihan dan kesedaran COVID-19 melalui pementasan teater pada 9-11 Mei 2025 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Projek ini melibatkan pelajar dari program fisioterapi UKM dan murid Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai pelakon dan kru. 

Teater ini telah diinovasikan melalui pensyarah program Fisioterapi UKM, iaitu Dr Noor Hafifi Noorhisham dan telah dilatih oleh Guru Teater dari Industri, iaitu Puan Nasiha Shakina Shariffuddin, dari Pusat Rehabilitasi PERKESO, dan juga guru teater dari Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri iaitu Encik Izman Saroni. Hasil inovasi ini telah menunjukkan peningkatan ketara dalam tahap kefahaman di kalangan pelajar, murid dan penonton. Pelajar fisioterapi melaporkan pengalaman pembelajaran bermakna berkaitan komunikasi kesihatan dan empati, manakala murid menunjukkan peningkatan kesedaran kesihatan.

Kesimpulannya, Edu-Teater ‘Bangkit’ yang telah dipersembahkan selama 3 hari ini berjaya menjadi platform pembelajaran berasaskan seni yang menyentuh emosi, memperkukuh ilmu dan sesuai untuk dikembangkan dalam bidang kesihatan lain. Inovasi ini juga telah mendapat kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.